SEJARAH SEKOLAH

Nama sebenar sekolah ini ialah Sekolah Kebangsaan Pulau Sebang. Sekolah ini terletak di Kampung Pulau Sebang, daerah Alor Gajah, Negeri Melaka. Alamat surat menyurat ialah Jalan Kemus, 78000 Alor Gajah, Melaka. Sekolah ini terletak dalam kawasan Dewan Undangan Pulau Sebang, dalam kawasan Parlimen Selandar. Pekan yang terdekat dengan sekolah ialah Pekan Tampin, Negeri Sembilan. Kod sekolah ini ialah MBA 0023.

Pada asalnya sekolah ini mengandungi satu blok dua tingkat bangunan kayu, tiangnya daripada batu dan beratap genting. Bangunan ini berbentuk L dan dibina dalam tahun 1928. Pada tahun 1987, sekolah ini mendapat bangunan baru satu blok dua tingkat. Sekolah ini mendapat kemudahan air dan elektrik.

Pada bulan Mei 1999, sekolah ini mendapat bangunan baru satu blok empat tingkat bagi menggantikan bangunan lama yang berbentuk L itu. Bangunan baru ini dilengkapi dengan bilik pentadbiran, bilik sains, bilik kemahiran hidup, bilik pusat sumber, bilik guru, bilik mesyuarat, bilik kesihatan, bilik SPBT, dan tujuh buah bilik darjah.

Mulai tahun 2000, kelas Pendidikan Khas telah dibuka di sekolah ini. Sebuah bilik darjah telah diubah suai untuk dijadikan bilik Pendidikan Khas yang dilengkapi dengan perabot dan pelbagai kemudahan. Pada tahun 2001 seramai sembilan pelajar sedang menerima pendidikan di kelas ini.

Sekolah ini mempunyai satu sesi sahaja. Murid-murid yang belajar di sekolah ini terdiri daripada murid lelaki dan juga murid perempuan. Sekolah ini dibiayai oleh bantuan kerajaan sepenuhnya. Kebanyakan murid yang belajar di sekolah ini terdiri daripada murid Melayu, India, dan anak orang asli yang datang dari kampung berhampiran seperti Kampung Pulau Sebang, Kampung Arongan, Kampung Kuala Ina, Kampung Bukit Mechat dan Kampong Tanjung Rimau Luar dan Dalam.

Kakitangan sekolah ini terdiri daripada Guru Besar, GPK Pentadbiran, GPK Hal Ehwal Murid, GPK Kokurikulum, guru-guru, pembantu tadbir PAR dan PRA. Di samping itu sekolah ini mempunyai lima orang pekerja swasta dan tiga orang pengawal keselamatan.

Sekolah ini menjalankan pelbagai aktiviti yang berfaedah sepanjang tahun seperti motivasi Tahun 6, Klinik UPSR, Khemah Ibadat, Hari Jalinan Mesra, Majlis Bacaan Yasin dan sembahyang hajat, Gotong - Royong, Sukan Tahunan Sekolah, Hari Kokurikulum, Sambutan Maulidur Rasul dan Hari Anugerah Kecemerlangan Pelajar. Apabila munculnya program j-QAF,sekolah ini telah menerima tiga orang guru terlatih dan telah mengadakan program Kem Bestari Solat sebanyak empat kali setahun. Sekolah ini mendapat kerjasama dan bantuan daripada PIBG sekolah dan masyarakat Pulau Sebang.